Official Web FeTech UniMAP

    15 Produk EYREC UniMAP Raih Anugerah AYIE 2015

    Kuala Lumpur, 23 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui ENVEX Young Researcher Club (EYREC) telah meraih enam pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa pada Asian Young Inventors Exhibition 2015 (AYIE) yang diadakan sempena 26th International Invention Innovation Exhibition (ITEX) 2015 di sini.

    Pingat ini disumbangkan oleh penyelidik muda UniMAP yang berusia 20 tahun dan ke bawah terdiri daripada pelajar UniMAP sendiri dan pelajar sekolah angkat UniMAP.

    Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata EYREC telah menghantar 13 produk penyelidikan pelajar UniMAP dan tiga produk dari sekolah angkat UniMAP.

    “Kita menerima dua produk dari Sekolah Kebangsaan Sena (SK Sena) dan satu produk dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP).

    “Kesemua 13 produk pelajar UniMAP telah berjaya membawa pulang pingat. Manakala bagi SK Sena dan SMSTSP masing-masing menyumbangkan satu pingat gangsa dan satu pingat perak,” katanya.

    Bagi beliau, penyertaan ini adalah untuk meningkatkan motivasi diri dan kecintaan pelajar terhadap sains dan teknologi.

    “Di samping itu, penyertaan ini adalah mendokong hasrat negara bagi menghasilkan lebih ramai penyelidik muda di peringkat global.

    “Malah ianya juga adalah selaras dengan visi Perdana Menteri yang ingin melahirkan jurutera glokal iaitu berfikir secara global dan bertindak secara lokal,” katanya.

    Untuk rekod, pada ITEX 2015 UniMAP telah mencatat kejayaan manis apabila kesemua 60 produk penyelidikannya meraih pingat sekaligus mengekalkan pencapaian 100 peratus pingat seperti tahun lalu.

    Pada pameran yang berlangsung bermula 21 hingga 23 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini itu, delegasi penyelidik UniMAP meraih 18 emas, 31 perak dan 11 gangsa dari 665 pingat yang ditawarkan.

    ITEX 2015 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) telah diadakan buat kali ke – 26 dengan mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara.

    Antara negara yang menyertai adalah Belgium, Mesir, German, Hong Kong, India, Indonesia, Iraq, Itali, Japan, Korea, Moldova, Philipina, Poland, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia.

    Selain AYIE, turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition 2015 (MYIE) yang juga membariskan penyelidik muda berusia 20 tahun dan ke bawah.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *