Official Web FeTech UniMAP

    60 Produk Penyelidikan Unimap Raih Pingat Di ITEX 2015

    Kuala Lumpur, 22 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat kejayaan manis apabila kesemua 60 produk penyelidikannya meraih pingat pada 26th International Invention Innovation Exhibition (ITEX) 2015 sekaligus mengekalkan pencapaian 100 peratus pingat seperti tahun lalu.

    Pada pameran yang berlangsung bermula 21 hingga 23 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini itu, delegasi penyelidik UniMAP meraih 18 emas, 31 perak dan 11 gangsa dari 665 pingat yang ditawarkan.

    Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berbangga dengan pencapaian yang diraih tersebut memandangkan kriteria perjurian yang ketat.

    “Kita berjaya mengekalkan 100 peratus pingat sama seperti tahun lepas walaupun saya mengharapkan jumlah pingat emas yang lebih banyak pada penyertaan kali ini.

    “Namun, ia tetap merupakan pencapaian yang terbaik apabila tiada penyelidik yang pulang dengan tangan kosong, namun analisis diperingkat dalaman akan tetap dilaksanakan bagi memastikan produk yang menyertai ITEX pada masa hadapan adalah terbaik, berkualiti dan menepati kriteria penjurian yang ditetapkan oleh penganjur,” katanya.

    Untuk rekod, UniMAP turut meraih 100 peratus pada pameran ITEX 2014 dengan meraih 55 emas, 14 perak dan satu gangsa dari 70 produk yang dipertandingkan.

    Menurut Datuk Kamarudin lagi, walaupun berlaku penurunan jumlah pingat emas, namun beliau positif bahawa semua penyelidikUniMAP yang menyertai ITEX 2015 telah melakukan yang terbaik pada sesi penjurian yang berlangsung semalam.

    “Malam ini akan diadakan Malam Budaya Cipta (A Celebration of Creativity) bagi memberikan pengiktirafan melalui Anugerah Khas oleh agensi dalam dan luar negara bagi produk-produk penyelidikan yang terbaik.

    “Saya mengharapkan akan ada produk UniMAP yang tersenarai sebagai penerima Anugerah Khas tersebut,” katanya.

    Tidak ketinggalan turut akan diumumkan adalah anugerah Patron bagi agensi yang mencatatkan keputusan yang terbaik dalam ITEX 2015 ini.

    ITEX 2015 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) telah diadakan buat kali ke – 26 dengan mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara.

    Antara negara yang menyertai adalah Belgium, Mesir, German, Hong Kong, India, Indonesia, Iraq, Itali, Japan, Korea, Moldova, Philipina, Poland, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia.

    Turut diadakan adalah Asian Young Inventors Exhibition 2015 (AYIE) dan Malaysian Young Inventors Exhibition 2015 (MYIE) yang membariskan penyelidik muda berusia 20 tahun dan ke bawah.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *